Cerpen Cinta : Naim Si Budak Agama
ditulis oleh : Cerahjeff
Naim pelajar tingkatan 5 di
sebuah Sekolah Agama Persekutuan.Dia seorang yang tinggi ilmu agama dan
mempunyai politik yang agak stabil di sekolah dan Siqahnya(Kepercayaan orang
terhadapnya) tinggi.Apabila Ustaz tiada di antara Magrib dan Isyak,dia akan ke hadapan.Samada
memberi tazkirah atau mengepalai bacaan Mathurat.Pergaulan dengan perempuan
dijaga dengan begitu sempurna,jika mesyuarat terpaksa bercampur lelaki dan
perempuan,sama sekali dia tidak akan mengangkat pandangannya.Semua orang
menghormatinya,baik yang junior mahupun senior,baik yang laki-laki mahupun
perempuan.Jika ada senior yang tengah membuli junior,jika Naim ada di tempat
kejadian,proses buli itu akan bertukar menjadi majlis maaf-bermaafan.Inilah
‘kuasa’ Naim di sekolahnya.
Dia menjadi contoh teladan bagi
setiap pelajar sekolahnya.Setiap mata-mata yang wujud di sekolah itu selalu
memerhatikan pergerakannya dan mengambilnya sebagai contoh kehidupan yang
paling sempurna.Dek kerana mengetahui banyak mata memerhatikannya,dia
betul-betul menjaga akhlaknya.Bukan kerana manusia tetapi kerana Allah.Niatnya
hanya satu,supaya Islam itu terpancar dari dirinya.Hebatnya dia dalam menjaga
akhlaknya, tidak ada seorang pun di dalam sekolahnya melainkan teman
sebiliknyanya yang pernah melihat kulit badannya walaupun dia seringkali bermandi-manda
di kolah berhampiran dengan surau.
Sudah pasti,ramai perempuan yang menggilainya walaupun dia
tidak mengetahui hal itu.Di hadapannya semua baik,tunduk dengan penuh
tawadukknya tapi berlalunya Naim dari tempat itu,mula lah mulut mereka bergerak
memuji dan mengumpat tentang Naim.Bukan sahaja pelajar biasa yang meminati Naim
tapi ada juga pelajar-pelajar perempuan yang memegang tampuk kepimpinan sekolah
yang meminatinya cuma tidak disuarakan, bimbang ditegur dan yang paling mereka
takuti,takut cinta mereka ditolak.Tambahan pula Naim banyak kali mengingatkan
pelajar-pelajar supaya menjauhi zina hati,zina yang tidak dapat dilihat dan
tidak dapat dirasa tatkala dia memberi tazkirah.
Namun,hatta nabi Sulaiman yang menjadi raja dunia itupun
diuji Allah,inikan pula seorang pelajar sekolah agama yang ilmu agamanya masih
bertatih, bahasa arabnya masih merangkak-rangkak.Dia diuji dengan kehadiran
seorang pelajar perempuan yang baru pindah ke sekolahnya.Namanya Nisa, Khairun
Nisa.Orangnya putih,bertahi lalat di pipi sebelah kanan sedangkan Naim di
sebelah kiri.
“Ana Khairun Nisa,sila beri tunjuk ajar.”Nisa memperkenalkan
dirinya.
Dalam mahu yang bercampur dengan
iman di dalam hatinya,Naim melihat Nisa dengan sipi-sipi matanya sahaja. Ingin
dia merenung Nisa dengan lebih tajam tapi iman di dadanya masih kukuh bak
tembok besar cina.
“Cantiknya,”hati Naim bermonolog.
Tidak sampai sekelip
matapun,imannya menampar hatinya.Dia terus sedar dari diulik oleh syaitan dan
lantas dia beristighfar,memohon ampun daripada Tuhan dek kerana melakukan
zina,zina hati.Ingin sahaja matanya mengeluarkan bintik-bintik mutiara tanda
sesalnya dia akan dosanya namun selaput kaca di matanya masih tebal.Mungkin
penyesalannya masih belum kuat untuk memecahkan selaput kaca itu.
Saat berganti saat,hari berganti
hari,Nisa pun terpilih untuk menjadi salah seorang AJK surau sekolah dek kerana
dia asyik ke surau berbanding dengan pelajar-pelajar yang lain.Subuhnya di
surau,Dhuhanya di surau,Zohornya di surau,Asar,Magrib dan Isyaknya di
surau.Seringkali Naim terdengar suara wanita sedang membaca Al-Quran di balik
tabir biru yang memisahkan lelaki dan perempuan,ingin dia mengintai siapakah
gerangan hamba Allah itu tapi iman masih tebal menyelaput hati nafsunya.Ditakdirkan
Allah,suatu hari dia ternampak Nisa masuk ke surau perempuan,maka tahulah dia
bahawa suara perempuan yang didengar selama ini ialah suara Nisa.
Sedang dia sedang bersendirian
berdoa selepas solat sunat Dhuha,dia terdengar satu suara perempuan meminta tolong
dari balik tabir.Suara perempuan itu sayup-sayup.
“Ish..Nak tolong ke tak..Kalo aku masok belah
pompuan,bukanke khalwat..ye la,mane ade orang…aku dan die je..takley,aku mesti
bagitau ustaz hal ni,biar ustaz tolong..”Imannya bersuara.
Tapi 1 tetap kalah kepada
2.Imannya kalah dengan nafsu dan syaitan yang menggodanya.
“Kalo aku tak tolong,maybe…em…aku
intai dulu la,kalo serius aku tolong segera kalo tak,aku lapor kat ustaz,”akal
mula campur tangan.
Tabir biru itupun diselaknya dan dia mendapati jari Nisa
terkepit di almari Quran.Walaupun sakit Nisa tetap menahannya,bimbang maruahnya
jatuh di hadapan seorang ketua badan Agama sekolahnya.Dan ketika itulah makhluk
durjana yang bernama syaitan mula mengambil peranan.Disuntiknya bius-bius dosa
ke dalam hati Naim supaya Naim tidak terasa melakukan dosa.
“Em..Aku kene lapor kat ustat ke?Patot ke aku tolong?Bley ke
aku pegang tangan die?Dose..”Imannya bersuara.
“Ah,darurat,darurat.Even babi pun boleh makan kalo
darurat.”Akal yang dibalut dengan nafsunya membuat pertimbangan.
“Betul juga,ok,aku tolong.”Hatinya membuat keputusan sambil
disahkan oleh Syaitan.
“Er,Nisa tahan ek,kejap saya tarik pintu almari ni.”Dia
memberi arahan kepada Nisa.
“…ok…”Suara Nisa bagaikan bunyi ikan bersuara,entah
dengar,entah tidak.
Pintu almari berjaya dibuka,jari
Nisa terlepas dari kepitan almari.Merah bak biji saga jarinya,hampir-hampir
saja berdarah tapi kulitnya masih kuat menahan segala isi cecair daripada
keluar.
Tiba-tiba,Naim tanpa berfikir
panjang memegang jari Nisa.Niatnya hanya satu,ingin melihat keadaan jari
Nisa.Tapi dengan pantas Nisa menariknya dan berlari turun daripada surau dan
menuju ke kelas.
“Ya Allah,apa aku telah buat ni…Aku bukan sengaja
melakukannya Ya Allah..Ampunilah aku..”Dia berdoa,menangis menyesal dosa yang
baru sahaja dibuatnya sebentar tadi.
Habis sahaja air matanya
kering,hatinya diketuk dengan pelbagai soalan.Bukan soalan agama tetapi soal
maruah dan Siqahnya.Bagaimana jika Nisa menceritakan hal tadi kepada
kawan-kawannya?Bagaimana kalau cerita itu bocor kepada junior-juniornya?
Kalau ustaz dapat tahu,pasti dia
akan dilucutkan dari segala jawatan yang disandangnya sekarang.Dia akan dicemuh
dan dihina.Dia tidak akan dapat peluang ke depan lagi sewaktu ketiadaan
ustaz.Dia bimbang bercampur keliru.
Lamunannya tersentak apabila satu suara memberi salam untuk
masuk ke surau.Peluh-peluh resah dan gelisah mengalir di pipi kanannya,dia
masih di dalam bahagian surau wanita.Apa yang harus dijawab jika ditanya.
Ya,menipu.Menipu adalah jalan penyelesaian yang terbaik buatnya
sekarang.Lagipun dia cam suara itu,itu suara Khairul,teman sebiliknya.Baginya
tidaklah berdosa menipu teman sebilik yang akrab dengannya.
“Eh,Im.Ape ko wat lam surau pompuan tu?”Soal
Khairul,kelihatan di mukanya perasaan ingin tahu.
“Eh,takde ape-ape la.Aku just check samada quran cukup tak
belah pompuan.”Jawab Naim.
“Owh,baguslah wat kerja baik atas rumah Allah ni.Insya Allah
ko dapat pahala,taknak share ngan aku?”gurau Khairul.
Gurauan yang pada dasarnya
kelihatan seperti satu lawak bodoh tetapi ada perkataan-perkataan yang
menghantui fikiran Naim iaitu ‘RUMAH ALLAH’.
Ya,di atas rumah Allah inilah Naim melakukan maksiat.
Di atas rumah Allah inilah Naim menipu.Semuanya di atas
rumah ini,rumah kepunyaan Tuan segala tuan.Tiba-tiba dia menangis,tanpa
disedari, air mata mengalir di atas
pipinya yang sedikit cengkung.Khairul terkejut melihat Naim menangis dan
bertanya sebab Naim menangis tetapi Naim hanya berdiam. Khairul membuat andaian
sendiri,pada pendapatnya mungkin Naim menangis kerana bertaubat.Lantas perasaan
cemburu mula menguasai dirinya.Inilah dia tanda orang beriman,pantang melihat
orang lebih dekat dengan Kecintaan nya,pasti dia cemburu.
“Eh Im,kelas da nak start.Jom!”Ajak Khairul.
“Ok,”balas Naim.
Pelajarannya selepas waktu rehat
tadi tiada makna.Sepatah kata yang keluar dari mulut cikgu-cikgunya tidak
satupun diingati atau diberi perhatian.Matanya tajam memandang ke arah papan
hijau di hadapan kelas tetapi fikiran jauh ke laut mencari ketenangan.Jasadnya
wujud tapi ruh akalnya tiada.Bukan sibuk memikirkan penyelesaian tetapi sibuk
mencari masalah-masalah yang akan timbul jika cerita tadi diketahui umum.
Rupa-rupanya,bukan Naim sahaja
yang berjasad tanpa akal,begitu juga dengan Nisa.Cuma ada kelainannya. Nisa
sama sekali tidak bimbang tentang nasibnya jika cerita itu bocor atau ada mata
yang terpandang peristiwa tadi tetapi kepalanya sibuk memikirkan tentang
Naim.Kedudukannya di dalam kelas menyebabkan matanya tidak berkelip memandang
Naim dari belakang.
Baginya,alangkah bertuah sesiapa
yang dapat menawan hati Naim. Kesopanan dan kebaikan yang ditunjukkan oleh Naim
sebentar tadi,betul-betul memikat hati suci si gadis ini.Begitulah nasib si
Abid tanpa Ilmu.Pantang ditiup angin,pasti dia rebah.
Tangan mula mengambil peranan,diambilnya
pen merah jambu kesukaannya dan diambil sehelai kertas memo yang berada di
dalam laci mejanya.Sepucuk surat ditulis sebagai tanda terima kasih buat si
jejaka budiman. Surat sahaja tidak cukup,dibelinya sekotak air laici yang
berharga 80sen dengan duit seringgit.Bakinya dibeli sebatang choki-choki,juga
sebagai hadiah.
Seperti kebiasaannya,Naim datang
ke kelas seawall yang mungkin.Selesai sahaja solat Zohor berjemaah dan makan di
dewan makan,tanpa menyalin pakaian,dia terus ke kelas.Baginya masa itu emas dan
tidak boleh dibazirkan walaupun sesaat.Masih banyak pelajaran tingkatan 4 dan
tingkatan 5 yang belum dikuasainya.Tabiatnya ini menjadi ikutan sesetangah
pelajar yang lain.Pabila dia melangkah kaki ke dalam kelas,alangkah terkejutnya
dia apabila dia melihat sepucuk kertas yang dilipat 2 dan ditindih dengan
sekotak air laici dan sebatang choki-choki.
Isi suratnya:
Salam..
Terima kasih kerana
tolong ana..
Kalau anta takde
tadi,tatau la macamana ana nak buat..
Jangan bimbang,ana
tidak akan membocorkan hal tadi kepada orang lain..
Ukhwah Fillah,
Nisa’
Sambil menghirup air laici dalam
kotak itu,dia tersenyum.Dengan mengoyak plastik depan choki-choki,dia
membetulkan kerusinya, mempersiapkan dirinya untuk menulis surat balas kepada
Nisa.Sebaik sahaja pen nya ingin menyentuh dada kertas putih berbelang biru
itu,dia terfikir alangkah bagusnya kalau dia mempunyai pen berwarna-warni
supaya Nisa tidak jemu membacanya.Mata hitamnya terpandang bekas pensil kawan
di hadapannya.Tidak pernah dia menyentuh barang orang lain tanpa izin tapi kali
ini tidak lagi.Entah kawannya bagi atau tidak,dia terus menggunanya atas alasan
yang sangat biasa, “standardla,kawan..”Maka bermulalah kisah cinta Naim,Si
Budak Agama.
Balas dia:
Salam,
Terima kasih atas
minuman dan makanan yang saudari bagi,
Ana tidak buat apa-apa
melainkan untuk menolong insan dalam kesusahan,
Bukankah Islam
menyuruh kita menolong orang dalam kesusahan?
Moga Allah meredhaai
kita,
Dan,salam
perkenalan.Ana Naim.
Naim
Diselitnya surat ini ke dalam
buku latihan Nisa’ dengan harapan yang membulat.Maka,Naim dan Nisa mula
berbalasan surat.Walaupun pada awalnya,kedua-dua merasa kekok dek kerana
dua-dua mempunyai tapak agama yang boleh dikatakan kukuh. Ada juga Nisa
bertanya di dalam suratnya,
“Kita berbalas surat ni,tak salah
ke di sisi Islam?”
Pening juga Naim dibuatnya namun
disejukkan hatinya dan hati Nisa dengan jawapan,
“Takpe,kita dating tak
pernah.Bertentangan mata jarang sekali. Kita Ukhwah Fillah.Kita berhubungan
inipun semata-mata kerana Allah.Kita niat untuk berkahwin,bukan untuk buat
maksiat.”
Nisa membalas,
“bagaimana pula dengan zina hati?”
Lalu Naim membalas,
“mana ada zina hati.Zina hati tu
ulamak yang buat dengan tujuan umat Islam tidak mendekati zina.Rasulullah tak
kata pun.Lagipun cinta ini fitrah,masakan Allah zalim mengharamkan apa-apa
fitrah manusia?”
Hilang sudah prinsip yang
dipegangnya selama ini.
Walaupun Nisa tidak berpuas hati
dengan jawapan Naim,namun dek kerana cintanya dia kepada Naim,di’iya’kan sahaja
‘fatwa’ kekasihnya itu.
Naim dapat mengesan rasa sangsi kekasih hatinya melalui gaya
bahasa dan cara penulisan yang agak sedikit berbeda,lalu dia membalas,
“Nisa’,bukankah Allah berfirman
bahawa perempuan baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk
perempuan yang baik?Ana yakin anti baik dan ana pun yakin yang anti rasa ana
baik.Tidak sekali Allah kata isteri yang baik untuk suami yang baik tetapi
Allah kata perempuan dan lelaki bermakna belum berkahwin pun takpa.Anti meragui
Quran?”
Terdiam Nisa’ membaca ‘fatwa’
baru buah hatinya itu.Ingin dia membantah tetapi bimbang dianggap meragui
Quran. Mindsetnya yang mengatakan buah hatinya mempunyai ilmu setinggi langit
itu menyebabkan dia semakin yakin dengan ‘fatwa-fatwa’ itu.
Siqah bukanlah kerja
manusia.Pengaruh bukanlah kawalan manusia.Hati manusia tidak boleh dibeli
dengan mata wang, kesetian tidak boleh diperdangkan dengan kemewahan.Semuanya
hak mutlak Allah,Tuhan yang membolak balikkan hati manusia.Jika Dia menghendaki
seseorang itu mulia,maka mulialah orang itu walaupun pada awalnya dia hanya
seorang anak yatim piatu.Jika Dia menghendaki seseorang itu hina,maka hinalah
orang itu di atas tahtanya sendiri.Semuanya bukan dengan tiba-tiba tetapi ada
syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Nya yang diberi nama Sunnatullah.
Kepercayaan manusia terhadap
seseorang itu akan datang bila dia mendekatkan diri dengan Tuhannya. Kesetiaan
seseorang terhadapnya menjadi lebih solid pabila dia menyempurnakan apa yang
dilafaznya.Inilah hukum yang ditetapkan Ilahi.
Makin hari,pengaruh Naim semakin
jatuh.Kawan-kawan dan junior-juniornya semakin bosan dengannya.Sebab?Tiada.
Jelas sekali soal hati,Dia yang punya.Hidup Naim juga menjadi tidak tentu
hala.Dulu dia berbaju ketika mandi di kolah,kini tidak lagi.Pertimbangan akal
menjadi semakin kurang,mungkin terlampau tebal kabus dosa yang menutupi
hatinya.Siqahnya kian jatuh.Terkadang dia dimarahi oleh cikgu-cikgu kerana
prestasinya yang kian merosot.
Dia merasakan tekanan semakin
bertambah.Tiada lagi sakinah yang dianugerahkan kepadanya dulu.Tiada lagi
senyuman tatkala kesusahan.Tiada lagi nasihat-nasihat penenang yang mampu
diberi pabila adik-adik datang meminta nasihat.
Jika dulu dia mampu mengambil
tugasan luar walaupun ketika peperiksaan bulanan dijalankan,kini tidak
lagi.Bukan peperiksaan pun dia tidak dapat mengatur masa dengan baik.24 jam
baginya tidak cukup.Masa untuk dia belajar,masa untuk dia berpersatuan dan masa
untuk Nisa.Pernah dia berdoa meminta diberi 1 jam lebih tapi dia tidak sedar
bahawa jika dia diberi 100 jam lebih pun,pasti tidak mencukupi.
Khairul merasa hairan dengan
perubahan sikap kawan sebiliknya itu.Kadang-kadang tersenyum seorang
diri,kadang-kadang masam dan kadang-kadang seperti bercakap seorang diri.Naim
seakan-akan gila.Betul Naim gila,gila bayang.Panahan syaitan benar-benar telah
menusuk ke dalam hatinya,membuat satu lohong iman di dalam hatinya.Khairul cuba
bertanya mengapa dia seakan-akan berubah tapi dimarahnya Khairul,
“kubur lain-lain,syurga
lain-lain,neraka pun lain-lain!”
“Betul,sebab lain-lain la aku nak
tanya ko.Mane la taw ko ade masalah,bimbang takut di sana pun ko ade
masalah.”Ujar Khairul.
“Ko taw kan firman
Allah, kuu anfusakum wa ahli kum naara?”Soal Naim.
“jagalah diri kamu dan ahli
keluarga mu daripada api neraka..jadi?”Jawab Khairul.
“Jadi?!Aku ahli keluarga kau
ke?!”Marah Naim lagi.
Khairul terdiam sedar bahawa
ilmunya tidaklah setanding dengan Naim.Perasaan kesal timbul dalam hatinya atas
tindakan sahabatnya sebentar tadi.Namun,atas dasar silatur rahmi kerana
Allah,dia nekad untuk mengetahui punca Naim berubah.
Baginya pokok tidak akan
bergoyang jika beruk tiada di dalamnya. Walaubagaimanapun,Khairul tidaklah
selicik
Naim, dia buntu
apabila memikirkan adakah tindakannya selari dengan Islam atau berserenjang
dengan Islam. Lalu disampaikan isi hatinya kepada Ustaz Faidi, Mentornya.
“Er Ustaz,saya ada masalah nak
bincang dengan ustaz.”Bagitahu Khairul.
“Ma?(Apa?)”Soal Ustaz balik.
“Ustaz,saya bimbang dengan
Naim,teman sebilik saya.Perangainya seperti sudah berubah.Dia macam bukan dia..Er,
tataw nak terang macamana..”Terang Khairul.
“Na’am,ana pun perasan perubahan
pada Naim.Dia dah bukan macam dia yang dulu.Banyak perubahannya.”Tambah Ustaz.
“Saya rasa,ada yang disembunyikan
olehnya Ustaz dan saya rasa,ada baiknya saya menyiasat..Bolehkah ustaz?”Soal
Khairul.
“Dalam Islam,mengintai mencari
kesalahan orang ini diistilahkan sebagai Al-Tajassus.Hukumnya asalnya haram
tapi boleh berubah menjadi harus pabila diperlukan.Dan dalam keadaan
ni,hukumnya harus.”Terang ustaz.
Penyiasatan bermula dan
penyiasatan Khairul bertemu dengan jalan buntu.Tiada sebarang benda buruk yang
dilakukan Naim.Namun,pabila Allah menghendaki yang gelap menjadi
terang,dihilangkan bintang dan diganti dengan matahari. Sepandai-pandai tupai
melompat,akhirnya jatuh juga ke tanah.Akhirnya surat yang disimpan selama ini
dijumpai oleh Khairul ketika dia sedang membersihkan surau.
Rupa-rupanya,surat-surat yang
dihantar oleh Nisa’,selama ini disimpan di balik almari al-quran di hadapan
tempat imam solat.Terkesima Khairul dibuatnya apatah lagi ketika membaca
perkataan-perkataan yang telah berlaku evolusi,daripada ‘ana’, ‘anti’, kini
‘sayang’, ‘ayang’.Daripada ‘ukhwah Fillah’ kini ‘I luv U’.
Khairul tidak salah lagi,surat
itu kepunyaan Naim.Tertera nama Naim di atas belah kiri surat, ‘Buat Naim ku
sayang’. Dalam tidak sedar,Khairul menangis.Dia betul-betul sedih membaca
surat-surat itu,bukan kerana Nisa yang dalam pemerhatiannya juga dirampas orang
tetapi sedih bagi pihak Naim.Terngia-ngia di telinganya bacaan ayat 2 dan 3 surah
As-Saf yang selalu dibaca oleh Naim ketika menjadi Imam Magrib.Mengenangkan
maksud ayat-ayat tersebut yang secara ringkasnya membari maksud melarang orang
beriman daripada memberi nasihat tentang apa yang mereka perbuatkan, Khairul
terus menangis.
Dari luar surau,kelihatan Naim
yang baru sahaja sampai di surau.Tanpa berfikir tentang benda lain,Naim terus
memandang ke arah tempat penyimpanan ‘harta karun’nya itu.Terperanjat dia
apabila mendapati Khairul sedang memegang ‘harta-harta karung’nya itu dan tanpa
berfikir panjang,dia berlari ke arah Khairul.Sekali lagi dia melanggar prinsip
yang diajar kepada orang-orang lain supaya menghormati rumah Allah,jangan
berlari-lari di atasnya.Dia lupa bahawa dia pernah melarang kawan-kawannya yang
bergurau di dalam rumah Allah,katanya bahawa berlari di atas rumah Allah
seperti berlari di atas perut ibu sendiri yang sedang sarat mengandung.Entah
benar,entah tidak.
Ditolaknya Khairul ketepi dan dirampasnya semua surat-surat
yang dipegang oleh Khairul.
“Woi,ape ko buat ni?!!!”Marah
Naim.
“Woi?Mana pergi bahasa mu wahai
kawan?Mana pergi sopan santun mu wahai kawan?Mana pergi dirimu yang dulu wahai
Naim?”Soal Khairul sambil mengesat air mata yang sedang mengalir.Naim terdiam.
“Rupanya,inilah masalah mu wahai
kawan.Tiada ku sangka dirimu sedemikian,wahai kawan.Bagiku engkau lah model,
engkaulah insan sempurna yang memancarkan sinar Islam ke sekolah ini.Kini kau
sirna wahai kawan,kau mutiara yang kian sirna!”Marah Khairul.
“Ah,kau peduli ape!”Naim bersuara
walaupun hatinya terkesan dengan kata-kata Khairul.
“Jujur aku tanya,kau couple
Im?”Soal Khairul.
“Aku couple ke,aku tak couple
ke,tu soal aku la.Dosa biar aku tanggung sendiri!Jangan risau la,aku takkan
heret kau masuk neraka sama dengan aku!”Lantang sungguh Naim berbicara.Dia lupa
di atas lantai rumah siapakah yang dia pijak sekarang.
Khairul berlalu dari tempat itu
dengan penuh dukachita.Ingin dia salahkan takdir kerana menemukan dia dengan
seorang kawan yang hipokrit seperti Naim namun dia akur dengan qada’ dan qadar
Ilahi.
Semasa mereka bekelahi sebentar
tadi,mereka bukan berdua.Di balik tabir biru itu ada 3 pasang telinga yang
mendengarnya secara tidak sengaja.3 orang pelajar junior perempuan baru sahaja
selesai mendirikan solat sunat Dhuha mendengar setiap butir perkataan yang
keluar daripada mulut mereka berdua.
Malang si Naim.3 orang pelajar
itu bukanlah pelajar yang diam sifatnya.Dihebahkan berita Naim berpacaran ke
setiap juzuk sekolah sehingga para cikgu pun tahu mengenainya.Ke mana sahaja
Naim pergi,pasti ada mata-mata yang memandangnya dengan hujung-hujung mata dan
sebaik sahaja Naim pergi,mulalah syaitan berpesta dengan dosa
mengumpat.Bertambah malang bagi Naim,dia tidak tahu bahawa semua orang telah
tahu dia berpacaran.Tazkirah yang seringkali ditunggu oleh semua pelajar kini
dicemuh,dihina dan dikutuk oleh semua yang mendengarnya kecuali kekasih
hatinya,Nisa.
Khairul,si sahabat setia ini
tidak senang mendengar orang mengumpat sahabat sejatinya. Akhirnya dia
berkeputusan untuk menyampaikan sendiri kepada Naim bahawa semua orang sedang
mencelanya.
“Im,senanye..Sume orang da taw ko
couple..”Bicara Khairul secara perlahan.
“Hah?!”Terkejut Naim.Apa yang
ditakutinya kini menjadi realiti.
“Ko bagitaw orang?!!!!”Soal Naim.
“Eh,tak..Aku pun tak taw macamana
bley..”
“Ah!! Inilah kawan! Kawan makan
kawan! Aku tau dari dulu lagi ko dengki ngan aku, ko dengki ngan jawatan aku
dapat!Aku taw kau sengaja nak jatuhkan aku!”Naim memotong dengan
lajunya,melebihi had laju yang sepatutnya.
“Demi Allah..”
“Jangan main dengan sumpah!Berani
sebut nama Allah dalam wat dosa,dasar…”Sekali lagi Naim memotong,laju benar
susun katanya.
“Aku menyesal bagitahu kau,aku
ingat kau la kawan aku yang sejati rupa-rupa..”
“Rupa-rupa apa?!Musuh?!”Naim
marah lagi.
“Na’am!Musuh Allah,musuh agama
Allah!Ko nasihat orang jangan bercouple,jangan zina hati, jangan itu,jangan ini
tapi dalam masa sama kau buat!Ko lupa ayat-ayat surah As-Saf yang ko selalu
baca tyme jadi Imam?Ko lupa?!Meh aku ingatkan ko! Wahai orang beriman jangan
kau melarang apa yang engkau kerjakan,sungguh besar kemurkaan Allah pada
engkau! Ya,pada engkau Naim!Allah memurkai mu dan layaknya aku membenci mu!”
Balas Khairul dengan penuh perasaan kecewa.Lalu dia meninggalkan bilik dengan
menarik tombol pintu dengan sekuat-kuatnya.
Keheningan dan kesunyian malam
itu dipecahkan dengan dentuman pintu bilik khas,bilik Naim dan Khairul.
Di sekolah itu mereka sahaja yang
diberi keistimewaan untuk tinggal di bilik dan orang lain di dorm,memandangkan
mereka ialah ketua dan penolong ketua pelajar di sekolah itu.Pelajar-pelajar
senior yang mendengarnya keluar dengan berlari,hati mereka ingin benar
mengetahui apa yang berlaku namun kelihatan hanya Khairul sedang berjalan
menuju ke tandas.Berbeza pula dengan pelajar junior,mereka dengan lajunya
menutup lampu dan berpura-pura tidur,bimbang nama mereka dipanggil untuk
dijadikan ‘lauk’ para senior malam itu.
Kata-kata Khairul benar-benar
menikam qalbu terus ke akal.Tersentak Naim buat seketika. Mimpi ngeri dalam
hidupnya baru bermula.Tidak,dia baru sedar yang dia dalam mimpi ngeri. Tindakan
segera wajib diambilnya jika tidak Siqahnya akan terus merudum jatuh menyembah
bumi.Jika dia terus begini,tiada lagi ‘Abg Naim Si Budak Surau’ atau gelaran
‘Wali Naim’.Tiada lagi kesetiaan,tiada lagi kepatuhan dan tiada lagi insan yang
akan menghormatinya menggunakan hati mereka.Apa yang ada hanya lakonan.Buah di
luar, duri di dalam.
Dikuatkan hati,diringankan tangan
untuk menulis surat terakhir buat kekasih hatinya. Tapi ternyata dia
gagal.Semalaman dia tidak lena,pening memikirkan jalan penyelesaian yang pasti
tiada jawapannya.Akibatnya,dia tertidur di dalam kelas.
“Naim,bangun!”Arah Cikgu
Marlina,cikgu matematik tambahan yang terkenal dengan garang dan keceluparan
mulutnya.
Naim terjaga dari lenanya dan terus berdiri.
“Apa dah jadi dengan awak
ni?Dalam kelas tidur,luar kelas bercinta!”Marah Cikgu Marlina.
Awan hitam kini melitupi Naim,dia
merasa tersangat malu.Bukan arang yang diconteng ke mukanya sekarang tetapi
najis,najis manusia,manusia yang bernama Naim,najisnya sendiri. Tiada kata
dapat dibalas,dia hanya tunduk terdiam.
Naim bijak dalam beragama tapi
dia gagal dalam berpolitik.Dia tidak sedar akan tindakan untuk tunduk dan diam
itu bukanlah satu tindakan yang betul dalam berpolitik.Tindakannya itu sepeti
dia mengakui kesalahannya dan dalam erti kata lain,dia mengakui bahawa dia
sedang bercinta.
Marah Cikgu Marlina tadi bukan
sahaja menampar Naim tapi terbias juga kepada pasangannya, Nisa.Nisa
tunduk,akur dengan kesilapannya.Kini,dia sedar bahawa dia telah menarik Naim ke
lembah kebinasaan.Surat pertamanya,surat tanda terima kasih itu merupakan surat
jemputan ke neraka.Dia sudah sedar segala-galanya.Surat,hadiah dan fatwa-fatwa
Naim itu merupakan alatan-alatan
yang dibuat oleh syaitan.Nampak seperti sesuai dengan syarak tapi penuh dengan
unsur kemaksiatan,tidak dapat dilihat oleh mata kasar,hanya mata hati dapat
mengesannya.
Cara yang terbaik untuk Nisa sekarang,menulis surat
terakhir,surat tanda perpisahan, surat yang akan meniupkan kembali segala
kebaikan dan menutup segala keburukan.Dengan nekad yang kuat di dalam
hati,keyakinan yang tinggi terhadap Islam,Nisa memegang pen merah jambu
kesayangannya dan mula menulis.
Salam sayang,
Sudah hampir 5 bulan
kita bercouple,
Ayang percaya yang
sayang sudah tahu isi hati ayang,
Ayang benar-benar
menyintai sayang..
Sepenuh jiwa dan raga
ayang..
Namun,ayang sedar satu
benda,benda yang mungkin buat kita menangis,
Dalam kita asyik
mengejar cinta Ilahi bersama-sama,kita telah balutinya dengan cinta yang penuh
dengan kepalsuan.Cinta manusia yang tidak mempunyai dasar yang kukuh.Kita
selesakan diri kita dengan menyatakan cinta kita berdasarkan iman tapi dengan
iman itu kita melakukan maksiat.Benar kita tidak pernah berjumpa,berdating
seperti remaja lain tapi maksiat bukan itu sahaja.
Ayang yakin dengan
kata-kata sayang bahawa tiada hadis yang menyatakan zina hati tapi ayang baru
perasan bahwa ayat la taqrabu zina itu menggunakan fail qaraba yakni perbuatan
mendekatkan dengan hati.Maknanya,dengan hati pun tidak boleh dekati zina.
Ayang bukanlah membuat
fatwa atau apa-apa ajaran tetapi itulah yang ayang percaya.Tindakan kita ini
tidak lain tidak bukan,membersihkan najis dengan air kencing sendiri.Najis
tidak bersih tetapi bertambah kotor,mengalir dan terus mengalir mengotori semua
tempat.
Sayang..Ayang percaya
pada jodoh.Jika kita dijodohkan bersama,Insya Allah,kita akan bersama.Tidak
perlu bercouple atau berkenalan,jika Allah nak kita bersama,insya Allah kita
bersama.
Percayalah,itu hak
Allah.Dia boleh buat apa yang dia suka.Dia yang menghidupkan Isa tanpa
bapa,menyejukkan api yang membakar nabi Ibrahim,memutuskan air penghalang nabi
Musa dan menghidupkan Sam bin Nuh buat nabi Isa.Jika semua perkara ganjil itu
Allah yang buat,apatah lagi soal jodoh yang merupakan soal kebiasaan.
Semoga apa yang kita
bina selama ini diampuni Allah.
Ukhwah Fillah.
Nisa
Tertitis setitik dua air matanya
di atas surat itu tapi cepat-cepat dilapkan supaya tulisan tidak hilang.Sengaja
dia tidak mengambil kertas baru dan menulisnya kembali supaya Naim faham
isyarat yang cuba diberinya.Hati Nisa tidak mahu tapi disebabkan imannya, agama
didahulukan.Kemahuan ditolak ketepi walaupun perit menolaknya.
Surat keramat diletakkan di atas
meja Naim,kali ini tiada lagi air laici dan tiada lagi choki-choki,surat
semata-mata.Naim membacanya dan dia telah bersedia dengan keadaan ini.Tiada
lagi air mata,tiada lagi tangisan tiada lagi kedukaan.Kisah cintanya jelas
bukanlah cinta yang menghasilkan CINTA tapi cinta yang berpaksikan maksiat
semata-mata.
Tangannya pantas mencari kertas
dan pen untuk membalas surat terakhir ini.Tengah dia berfikir ayat-ayat cinta
terakhir,hidayah Tuhan sampai.Cahaya yang akan menghilangkan segala titik hitam
yang bertapak di permukaan hatinya.Cahaya yang akan membaca cinta ini kepada
CINTA.
Dengan penuh yakin,dia mengoyak
kertas yang ditulisnya tadi.Dia yakin,jika dia menulis surat balas,syaitan akan
mencelah dan mengambil peluang lagi ke atasnya. Biarlah surat ini
bergantung sebegini supaya dapat disambung di akhirat nanti.